Fazura Masa Silam Sam?

Fazura Masa Silam Sam?|


Sejak pelakon jelita, Nur Fazura mengeluarkan kenyataan pernah bercint@ dengan Shaheizy Sam dalam program realiti televisyen Facing Up With Fazura di saluran E!, pelbagai cerita mula diperkatakan.

Hubungan cinta dua figura terkenal ini dikatakan berputik ketika menjalani penggambaran drama bersiri Kisah Cinta dan filem Manisnya Cinta di Cappadocia.

Malah, pelakon Syatilla Melvin didakwa memuat naik entri seolah-olah menyindir Fazura di laman Twitter miliknya. Hubungan Syatilla dan Sam sebagai kekasih juga mula dihidu media tempatan, walaupun mereka pernah dikhabarkan berpisah.

Pun begitu, sebagai lelaki berprinsip dan tidak cepat melatah, Sam berusaha menjelaskan keadaan sebenar.

Tegas Sam, baik Fazura mahupun Syatilla hanya rakan artis dan dia lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri apabila spekulasi itu mendapat perhatian ramai.

"Saya tak dapat lari daripada dikaitkan dengan perkara seperti ini. Kalau tengok trek rekod sebelum ini, saya pernah dikaitkan dengan ramai orang.

"Bagi saya, tidak mengapa jika orang bertanya tapi untuk mendapatkan jawapannya, kalau kita sama-sama doakan mungkin tidak lama lagi, insya-Allah," katanya.

Berbicara lanjut perihal Fazura dan Syatilla, pelakon Adnan Sempit itu berkata, tindakannya berdiam diri tidak bermakna membiarkan dua pelakon itu bertepuk sebelah tangan.

Katanya, secara psikologi, adakah individu diperkatakan meluahkan kata-kata sebagai orang yang ada mata dan fikiran?

"Adakah seseorang itu mampu dan layak bertepuk sebelah tangan? Rasanya layak atau tidak? Rasanya tak kot," katanya tegas.

Sam percaya, percintaan harus ada penghujungnya. Kalau tidak berakhir di jenjang pelamin, bermakna ia terputus di tengah jalan.

Tegasnya, setakat ini dia belum melalui fasa perkahwinan dengan mana-mana individu yang disebut tetapi tidak menafikan pernah putus cinta dengan pelakon Puteri Najuwa satu ketika dulu.
"Dengan yang lain saya belum lagi putus cinta atau berkahwin. Jadi, adakah layak untuk saya meletak mereka sebagai kekasih? Bagi saya, kekasih mesti ada penghujungnya.

"Berbeza dengan kawan kerana mereka datang dan pergi. Kawan boleh mendekati saya dan pergi tanpa perlu cakap apa-apa," katanya.

Sam sedar, spekulasi itu akan terus diperkatakan biarpun jawapan sudah diberi. Jika masih ada yang mahu menghukumnya dengan terus menjaja perkara itu, itu hak mereka dan hanya dia tahu kedudukan sebenar.

Bunyi jawapannya seolah-olah mengelak namun itulah dirinya, lebih suka membiarkan peminat berfikir dan menilai.

"Setiap perbuatan atau keputusan ada sebab. Saya lebih suka berkias dan biar orang berfikir. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi bercakap perkara ni.

"Saya belum ada pilihan hati dan tidak mahu meletakkan harapan kepada sesiapa pun. Tak mustahil orang yang datang meminang saya," katanya.

Jawapan sama diberikan ibu Sam, Kathy Fauziah apabila ditanya perihal bakal isteri anak bongsu kesayangannya.

Pelakon veteran yang mesra membahasakan diri sebagai Mami itu tidak kisah siapa pun pilihan Sam. Jelasnya, Sam mempunyai bebarapa kawan perempuan dan pernah dipertemukan dengannya.
"Hubungan mereka macam kawan biasa. Sebagai contoh, walaupun Putri Najuwa dan Sam putus cinta, dia masih datang bertemu Mami. Dia menjadi sebahagian daripada keluarga.

"Begitu juga Tilla (Syatilla). Kadangkala Mami keluar membeli-belah dengannya. Jadi, dengan siapapun Sam nak berkawan, Mami tak kisah dan terima," katanya.

Dedah Kathy lagi, Sam cerewet dalam memilih pasangan hidup, malah ciri-ciri utama yang dicari adalah boleh menjaga dan menghormati dirinya seperti mana Sam menjaganya.
"Sam sentiasa mengutamakan Mami. Dia akan tanya pendapat Mami, adakah kawannya sesuai untuk Mami. Dia terima pendapatan Mami. Kalau bulat kata Mami, bulatlah kata Sam.

"Mami tahu, Sam mencari isteri yang boleh jadi macam Mami. Jaga makan minum, manjakannya, layannya seperti Mami jaga dia," katanya.
Sebagai ibu yang mahu melihat anaknya bahagia,

Kathy tidak putus-putus berdoa semoga Sam cepat dipertemukan jodoh dan biar wanita itu menyenangkan hati mereka sekeluarga.

Terbaru mengenai perkemba­ngan mereka, Sam dan Mami dilantik menjadi duta produk kecantikan Artisari keluaran bersama Sam dan beberapa rakan bisnesnya. Sahabat baik Sam, Fezrul Khan turut dilantik menjadi duta produk sama.

Kata Kathy, Sam banyak kali memujuknya menjadi duta tetapi sebagai wanita yang sangat mementingkan kecantikan, Kathy mengambil masa lama untuk bersetuju.
"Kebetulan setiap kali Sam dilantik menjadi duta, mesti dia ajak Mami untuk 'join'. Dulu untuk iklan Mamee dan kini produk kecantikan pula.

"Seperti Mami katakan tadi, Sam sentiasa mahu membahagiakan ibunya dalam apa jua cara," katanya.

Manakala Sam pula kembali ke set penggambaran filem terbaru, #Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar sejak 25 Februari lalu.

Sebelum ini, filem itu terpaksa berehat hampir dua bulan atas faktor cuaca dan musim tengkujuh yang tidak menentu di Terengganu, akhir tahun lalu.

0 Response to "Fazura Masa Silam Sam?"

Post a Comment