Bantahan Awal Awie Mendapat Jawapan Hari Ini


Bantahan Awal Awie Mendapat Jawapan Hari Ini

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal penyanyi rock terkenal, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, berhubung permohonan isterinya untuk mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang diperoleh penyanyi itu, dua bulan lalu.

     Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain menetapkan demikian sejurus selesai mendengar hujahan peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie dan Peguam Syarie Majdah Muda yang mewakili isterinya, Rozana Misbun, semalam.

     Mohd Zaidi berkata, responden (Rozana) gagal memfailkan permohonan dalam tempoh 14 hari dari perintah itu dikeluarkan pada 21 Julai lalu. Beliau berkata, tindakan responden melengahkan pemfailan permohonan itu, meskipun telah melantik peguam seperti dalam komen-komen di laman sosial Facebooknya itu seperti disengajakan. “Permohonan itu remeh dan mahkamah wajar menolaknya,” katanya.

     Sementara itu, Majdah membalas hujahan berkenaan dengan beberapa alasan lain termasuk menyatakan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semula permohonan Awie. Menurutnya pasangan itu tidak tinggal di Kuala Lumpur sebaliknya mereka bermastautin di daerah Ampang dalam negeri Selangor. “Pihak kami juga tidak lewat dalam memfailkan permohonan ini kerana kami memfailkannya pada 26 Julai lalu, iaitu masih dalam tempoh 14 hari,” katanya. 

    Beliau turut memohon agar mahkamah menolak bantahan awal Awie dan mengenakan kos sebanyak RM5,000 kepada anak guamnya. Pada 22 Julai lalu, Awie berjaya mendapatkan hak jagaan sementara tiga anak hasil perkahwinannya dengan Rozana.

Sumber: Sinar Harian

0 Response to "Bantahan Awal Awie Mendapat Jawapan Hari Ini"

Post a Comment