The Maze Runner Merealisasikan Hasil lebih Baik dengan Formula Biasa


The Maze Runner Merealisasikan Hasil lebih Baik dengan Formula Biasa


Semenjak populariti novel-novel young adult seperti Harry Potter dan Twilight melonjak laku di pasaran apabila ia diadaptasi ke filem, maka berbondong-bondonglah produksi filem di Hollywood mengikut jejak langkah yang sama.

Terkini, filem berjudul The Maze Runner (2014) dari karya asal novel hasil tulisan James Dashner (2007) sedang ditayangkan di pawagam tempatan.
Ringkasan ceritanya begini; The Maze Runner mengisahkan sekumpulan remaja yang terperangkap dalam sebuah kawasan padang dan hutan yang dipanggil Glade setelah mereka dihantar melalui sebuah lif yang naik dari bawah tanah, seorang pada setiap bulan. Mereka sudah tinggal berkampung di situ selama lebih 3 tahun.

Penempatan mereka itu dikelilingi oleh tembok-tembok yang sangat tinggi dipanggil ‘Maze’ iaitu batu-batan yang sentiasa bergerak dan berubah umpama laluan teka-teki yang merbahaya. Kenapa mereka dikurung di situ dan diuji sebegitu? Anda kena menontonnya sendiri di pawagam tempatan sekarang.

The Maze Runner dibuka dengan pantas. Penonton mengikuti dan mengalami situasi genting kekeliruan oleh watak utamanya, Thomas (Dylan O’Brien) yang berada dalam sebuah lif yang ditimbuni bekalan makanan yang bergerak laju menaik ke atas sehingga ke permukaan bumi. Dia disambut oleh ramai remaja lelaki berbagai bangsa yang berpakaian kusam bergelar Gladers.

Thomas mengalami amnesia, tidak dapat mengingati apa-apa pun yang berlaku kepadanya sebelum dihantar ke situ atau asal-usulnya, kecuali nama sahaja iaitu ‘Thomas’. Begitu juga semua Gladers yang lain tiada sebarang memori silam yang mampu dikenang semula. Mereka hanya mahu untuk meneruskan kehidupan dengan aturan dan undang-undang bermasyarakat yang dipersetujui bersama.

Di kalangan Gladers ada sekumpulan remaja bergelar Runner yang bertugas setiap hari berlari pantas merentasi laluan Maze bagi mengira setiap perincian pemetaan selok-belok di dalamnya untuk kegunaan mencari jalan keluar dari Glade suatu hari nanti. Di samping itu, dalam Maze ada sekumpulan raksasa bergelar Griver yang akan memburu dan membunuh setiap Runner sekiranya mereka terperangkap di dalam Maze selepas senja.

Sumber: Roti Kaya

0 Response to "The Maze Runner Merealisasikan Hasil lebih Baik dengan Formula Biasa"

Post a Comment