10 Individu Yang Berhak Menggunakan Cermin Gelap | Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, berulang kali melaksanakan operasi menyaman pemilik kenderaan bercermin gelap.
Menurut Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70% manakala cermin belakang dan tepi, telus cahaya tidak kurang 50%.
Jika pemilik kenderaan didapati melanggar kaedah itu, bagi kesalahan pertama, mereka boleh didenda RM500 atau dipenjarakan kurang 2 minggu. Pelaku kesalahan kali kedua, boleh didenda RM1,000 atau dipenjarakan kurang 2 bulan atau keduanya.
Mungkin pernah terlintas di fikiran kita sebagai pemilik kenderaan, siapakah sebenarnya individu berhak menggunakan cermin kenderaan gelap?
Berikut kenyataan saya petik daripada laman sesawang JPJ.
‘Pemasangan kaca gelap diberikan kepada orang-orang tertentu seperti di bawah kaedah 11(a) dan 11(b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan khas untuk pemasangan cermin gelap’
Pada Oktober 2009, penulis menghubungi pegawai JPJ di Putrajaya dan bertanyakan soalan, siapakah ‘orang-orang tertentu’ dimaksudkan?
Menurut beliau, berikut senarai individu berhak menggunakan kenderaan bercermin gelap. Senarai di bawah, katanya dimuatkan di dalam buku Akta Pengangkutan Jalan.
1. DYMM Baginda Yang Dipertuan Agong
2. Sultan
3. Tengku Mahkota
4. Raja Muda
5. Hakim Mahkamah Tinggi
6. Panglima Tentera Darat
7. Ketua Polis Negara
8. Perdana Menteri
9. Pesakit kulit disahkan oleh doktor pakar hospital kerajaan
10. Individu keselamatan terancam dan permohonan menggunakan cermin gelap disokong oleh Ketua Polis Negeri
Merujuk senarai di atas, kenderaan Pengarah JPJ Negeri serta kakitangan, pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, dilarang menggunakan cermin gelap TANPA kebenaran Ketua Pengarah JPJ dan disokong oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.
Kakitangan (Pusat Kenderaan Berkomputer) PUSPAKOM juga wajib mendapatkan kelulusan sekiranya ingin menggunakan cermin gelap.
Jika kenyataan di atas kurang tepat, sila JPJ perbetulkan agar rakyat Malaysia tidak terkeliru.
Hemat penulis, jika JPJ ingin menyaman kenderaan orang ramai bercermin gelap, agensi penguatkuasa kerajaan terbabit wajib menyelesaikan isu cermin gelap kenderaan impot, kini banyak dipandu di Malaysia.
0 Response to "10 Individu Yang Berhak Menggunakan Cermin Gelap"
Post a Comment