Graduan atau picisan?
“BILALAH nak dapat kerja ni," getus hati kecil Hanis.
Hanis, graduan yang sudah lama menganggur cukup kesal dan sedih dengan apa yang terjadi pada diri. Nak kata tidak berusaha mencari kerja, bohonglah. Di rumahnya itu, bertimbun-timbun surat khabar dan majalah yang memuatkan iklan kerja kosong telah dicatat alamat untuk menghadiri temu duga, ada pula hanya resume sahaja yang dihantar, namun tunggu punya tunggu, tiada jawapan menggembirakan yang diterima.
Kadang-kadang Hanis sudah jemu dan putus asa untuk mohon pekerjaan. Kesudahannya, dia menyerah pada takdir.
Situasi Hanis ini adalah perkara biasa yang berlaku dalam kalangan graduan baru atau lama dalam mencari pekerjaan. Ada yang senang untuk mendapatkan peluang pekerjaan, dan ada juga yang sudah mencari berbulan-bulan tetapi masih tidak mendatangkan hasil.
Banyak faktor sebenarnya yang memungkinkan Hanis dan graduan lain sukar dapat kerja. Mungkin Hanis berhadapan kelemahan komunikasi seperti gagal menguasai bahasa Inggeris, terlalu memilih kerja atau mahu mencari pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan dimiliki.
Misalnya, lulusan ijazah mahu jadi eksekutif manakala lulusan PhD pula mahu jadi pegawai berjawatan tinggi.
Graduan sukar dapat kerja juga mungkin ada kaitannya dengan penawaran kos di institusi pengajian tinggi (IPT). Mana tidaknya, ada IPT yang menawarkan jurusan yang tidak memenuhi pasaran kerja masa kini. Justeru, siswa yang mengikuti jurusan berkenaan akan sukar mendapat pekerjaan kecuali jika sudah rezeki, memang bersyukur sangat-sangat.
Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad sendiri berpandangan, kursus yang diwujudkan di IPT perlulah relevan serta mengikut kehendak pasaran pada masa kini.
Namun ada juga kursus-kursus yang diubahsuai tetapi masih menepati pasaran serta silibus yang ada.
"Malaysian Qualification Agency (MQA) menetapkan 30 peratus kursus-kursus diubahsuai yang ditawarkan perlu mengikut pasaran.
"Kita juga mungkin boleh melaksanakan sijil-sijil profesional untuk para penuntut sebagai nilai tambah kepada mereka. Perkara ini sangat berguna untuk mereka apabila ingin bekerja. Bukan sahaja di dalam negara tetapi juga luar negara sekiranya mempunyai sebarang sijil antarabangsa," katanya kepada Kampus.
Selain kursus-kursus yang relevan, mungkin suatu masa nanti, IPT boleh wujudkan pembelajaran holistik seperti mana yang dilakukan oleh Taylor’s University. Setakat ini, statistik Taylor's University menunjukkan graduannya sudah ramai bekerja walau baru graduasi. Mungkin kejayaan itu hasil daripada wujudnya pembelajaran holistik.
0 Response to "Graduan atau picisan?"
Post a Comment