Mampukah Bahasa diangkat oleh lagu?
MAMPUKAH lagu bahasa Melayu mendapat sambutan di pentas antarabangsa? Atau dalam erti kata lain, adakah ia mempunyai nilai 'komersial' untuk diketengahkan?
Persoalan ini, tidak henti-henti berlegar dalam fikiran setiap anggota kumpulan Salammusik sebaik diberitahu mendapat peluang membuat persembahan di bumi Eropah pada dua tahun lepas.
Biarpun ada terlintas sedikit keraguan, apatah lagi ia merupakan persembahan pertama kali, namun itu tidak melemahkan semangat mereka untuk terus memartabatkan bahasa Melayu menerusi lagu di persada antarabangsa.
Bagi mereka, bahasa Melayu ada nilai dan keunikan tersendiri, sekali gus berasa bangga apabila persembahan di Sfinks Mixed Festival, di Boechout, Belgium mendapat sambutan menggalakkan pada dua tahun lepas.
"Rasa risau sebelum ini hilang apabila melihat reaksi mereka yang turut sama menyanyikan lagu-lagu kami yang dicipta dalam bahasa Melayu. Mereka tidak faham, tetapi ikut sahaja berdasarkan sebutan.
"Walaupun album kami ada juga lagu bahasa Inggeris, tetapi kami ingin tawan pasaran global dengan lagu Melayu," kata Ashraaf Salam A.Azlan, yang lebih dikenali sebagai Salam, kepada Bernama.
Menariknya, persembahan pertama kali itu berjaya membuka rezeki mereka untuk diundang sekali lagi mahupun menjayakan beberapa festival muzik di sekitar bumi Eropah.
MALAYSIA MATA DUNIA
Dianggotai seramai 11 orang, Salammusik mula meniti di bibir peminat apabila lagu Cerita Kedai Kopi hasil kolaborasi bersama DJ Fuzz serta Malique, meraih perhatian amat menggalakkan.
Tidak sekadar menjadi siulan pelbagai peringkat umur malahan lagu ini telah membuka platform kepada kumpulan ini untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam industri hiburan tempatan.
Dan, ini terbukti apabila populariti lagu ini akhirnya berjaya membawa Salammusik menjejakkan kaki di pentas berprestij, Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM) bagi kategori Hip Hop Terbaik pada 2010.
Pencapaian tidak pernah disangkakan itu selepas empat tahun bertapak dalam industri, terus membanggakan apabila sekali lagi menaiki pentas AIM sebaik diumumkan pemenang untuk kategori Album Terbaik 2012 di AIM ke-19.
Tidak mahu sekadar bermegah di persada tempatan, misi mereka adalah ingin meluaskan sayap kumpulan ini di persada antarabangsa, sepertimana idaman setiap
penggiat seni lain.
TIDAK PERLU TIRU ORANG
Di sebabkan itu, peluang menjayakan persembahan selama sejam di Sfinks Mixed Festival itu digunakan sebaik-baiknya. Tidak hanya untuk memperkasakan bahasa Melayu malahan juga memperkenalkan Malaysia di mata dunia menerusi pengaruh 'muzik'.
"Ada yang fikir, untuk menembusi pasaran antarabangsa kita kena tukar bahasa. Sebenarnya, tidak perlu ikut orang. Bahasa Melayu, nilainya amat tinggi dan ada peminatnya.
"Lagipun, mereka lebih menghargai dengan cara begini. Keunikan bahasa Melayu itu membuatkan mereka tertarik dan inilah yang membuatkan persembahan kami mendapat sambutan menggalakkan," kata Salam.
Ternyata, percaturan menyanyikan lagu bahasa Melayu adalah tidak silap bahkan telah membawa mereka untuk menjayakan pelbagai festival muzik di United Kingdom dan Belanda.
Antaranya, The Firehouse, United Kingdom, dan beberapa festival muzik di Belanda seperti Call of the Mall Festival, Solar Weekend, Mysteryland Festival dan Landjuweel Festival.
Berdasarkan persembahan sebelum ini, mereka bertanya bila Salammusik boleh datang lagi. Malahan, jadual persembahan kumpulan ini untuk tahun ini juga sudah penuh dan diberi peluang menjayakan festival muzik di Sepanyol.
Selain Salam, kumpulan ini turut dianggotai Eyza Bahra, Kamal Razali, AhmadBulya Abdillah J., Adam Shahrir Omar, Efry Arwis, Payung, Jazmi Jamaluddin (Jaz), Tip, M. Firdaus Aziz (D'Jambul) dan Kevin Theng.
TIDAK ADA KEKANGAN
Menceritakan pengalamannya menyanyikan lagu bahasa Inggeris ketika menjadi penghibur jalanan di luar negara sebelum tertubuhnya Salammusik, ujar Salam sambutannya tidak memberangsangkan sebagaimana reaksi peminat muzik terhadap lagu bahasa Melayu pada festival itu.
Mereka bukan hanya teruja malahan kagum melihat penampilan kumpulan ini yang segak bergaya dengan pakaian tradisional Melayu lengkap memakai tanjak selain ruang pentas dihiasi pelbagai produk kraftangan Malaysia.
Turut mencambahkan kelainan ialah genre muzik yang diketengahkan menerusi gabungan irama moden dan tradisional seperti alat muzik gamelan dan tabla, sekali gus membuatkan persembahan Salammusik sesuatu yang istimewa kepada mereka.
"Kekangan bahasa dan sempadan bukanlah halangan. Semua album kami habis terjual di sana selepas persembahan. Menariknya, penonton dalam kalangan bangsa Eropah datang jumpa kami selepas persembahan bertanyakan mengenai lagu yang kami bawa.
"Mereka hendak tahu apakah maksud sesuatu perkataan itu. Ini secara tidak langsung, membantu mengangkat bahasa Melayu di mata dunia," katanya.
Oleh kerana respons diterima amat memberangsangkan, Salammusik menghasilkan album kedua berjudul 'O' yang mengandungi lirik bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
LAGU RAKYAT
Bercerita mengenai perkembangan Salammusik, Kamal berkata mereka kini sibuk menghasilkan lagu untuk album ketiga selain menanti masa memasuki studio baru di Shah Alam.
Malahan, single terbaharu mereka berjudul 'Terima Kasih' yang menemui peminat pada awal Disember lepas berjaya meraih sambutan hangat di stesen radio utama termasuk Hot FM dan Era FM.
Mendedikasikan lagu itu kepada semua pihak yang banyak membantu mereka sehingga ke tahap hari ini, Kamal berkata lagu 'Terima Kasih' itu juga bertujuan menyemarakkan semula budaya itu dalam masyarakat.
Walaupun ucapan itu mudah, tetapi kadangkala ada yang lupa menyebutnya. Jadi, apabila mereka menyanyikan lagu ini secara fizikal ia akan mudah ingat dan melekat di dalam minda.
Terima kasih, bukanlah satu-satunya lagu Salammusik yang membawa mesej berguna kepada masyarakat. Ini kerana, boleh dikatakan majoriti besar lagu yang diperjuangkan kumpulan ini telah memberikan nafas baharu kepada peminat muzik tempatan.
Liriknya disampaikan dengan penuh makna tersirat yang memaparkan mengenai kehidupan manusia seperti perpaduan menerusi lagu 'Alamak', kasih sayang sesama
individu dan memupuk kembali budaya menghormati antara satu sama lain.
Objektif Salammusik adalah menghasilkan lagu rakyat. Bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga mendidik masyarakat ke arah kehidupan harmoni, demikian kata Kamal mengakhiri perbualan.
sumber- Bernama, Sinar Harian
0 Response to "Mampukah Bahasa diangkat oleh lagu?"
Post a Comment