Apa Hukum Guna Inhaler Dalam Bulan Puasa?



Apa Hukum Guna Inhaler Dalam Bulan Puasa?|


Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya, saya masih lagi tidak mendapat sebarang hujah yang tepat mengenai hukum mengambil ubat jenis inhaler (hablur atau serbuk) bagi pesakit athma ketika berpuasa, samada membatalkan puasa ataupun tidak. Pemikiran saya menganggap ubat itu bukan lah sejenis makanan ataupun minuman yang boleh mengenyangkan dan sama seperti kita menyedut udara. Minta tolong jelaskan Ya Ustaz..Syukran Jazilan.
Wa’alaikumussalam wbt.
Ibadah puasa merupakan ibadah yang penting dalam islam. Ia termasuk salah satu rukun islam. Dari segi bahasa puasa bermaksud menahan diri manakala menurut syara’ ianya adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dalam bentuk yang khusus disertai dengan niat.
Daripada takrif ini kita dapati antara rukun puasa adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.
Antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja(terdapat perselisihan ulama tentang rongga yang dimaksudkan dan menurut pandangan yang kuat ialah rongga perut).
Namun adakah pengunaan Inhaler termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa?
Inhaler ialah sejenis alat yang mengandungi ubat dalam bentuk ceacair. Ia mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan(bahan kimia), air dan juga oksigen. Dengan menekannya ke dalam mulut   bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dalam bentuk semburan kemudiannya pesakit akan mengambil nafas yang dalam. Semburan tersebut akan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.
Sebahagian ulama’  berpandangan bahawa penggunaan Inhaler akan membatalkan puasa kerana kandungan inhaler akan masuk ke dalam perut melaui mulut.
Dan menurut kebanyakan ulama’ pula, penggunaan Inhaler tidak membatalkan puasa. Dalil dan hujah-hujah mereka adalah seperti berikut:
1. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit. Oleh hal yang demikian, hukumnya tidak membatalkan puasa, diqiyaskan dengan hukum berkumur-kumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut.
Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, diqiaskan kepada air yang terlekat pada tekak selepas berkumur kumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang masuk. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan dan ia lebih ringan berbanding kemasukan bahan tersebut ketika berkumur kumur dan istinshaq.
2. Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti sebaliknya masih diragui, mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang ragu-ragu (al-yakin la yuzalu bi as-syak).
3. Tindakan ini adalah tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
4. Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.
5. Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.
Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya:
“Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”
Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.
Berdasarkan dalil-dalil ini, jelaslah keabsahan pandangan kedua yang menyatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. Pandangan ini jugalah yang telah dipegang majoriti ulama-ulama kontemporari seperti As-Syeikh Abd Aziz bin Baaz, As-syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin, As-Syeikh Abdullah bin Jabrin, As-Syeikh Dr. As-siddiq Ad-Darir, Dr. Muhammad Al-Khayyat dan Jawatankuasa Fatwa Tetap Kerajaan Arab Saudi.
Wallahua’lam
Rujukan:
-Majalah Majma’ Fiqh Islami, edisi ke 10. Tajuk: Perkara-perkara Yang Membatalkan Puasa Pada Masa Kini. Dr. Ahamd bin Muhammad Al- Khalil. m/s: 33-38
-Kitab al ’Uddah sharhul Al-uddah, Kitab Shoum.

khairul fatihin
 
Ust Khairul Fatihin Saedal Attas
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

0 Response to "Apa Hukum Guna Inhaler Dalam Bulan Puasa?"

Post a Comment