Banjir Di Kelantan Akibat Pembalakan?

Banjir Di Kelantan Akibat Pembalakan?|

GUA MUSANG - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan pembukaan tanah pertanian dan aktiviti pembalakan tidak terkawal di kawasan hulu Kelantan, menjadi punca kejadian banjir besar akhir Disember lalu.

Beliau berkata, kesan aktiviti itu juga menyebabkan beberapa sungai utama, khususnya Sungai Belatop di Lojing, menjadi cetek dan mudah melimpahi tebing apabila hujan lebat pada musim tengkujuh.

Menurutnya, disebabkan keadaan berisiko itu, penduduk di kawasan rendah yang mudah dinaiki air di Hulu Kelantan perlu bersiap sedia setiap kali musim tengkujuh pada masa akan datang.

“Saya tidak menolak kemungkinan banjir besar baru-baru ini, berpunca daripada kegiatan berkenaan,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2 di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Presiden Majlis Kelab Belia Kebangsaan (MAYC), Mohd Syahbuddin Hashim dan Yang Dipertua PIBG SK Sri Wangi 2, Zamzani Harun.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, Hulu Kelantan tidak pernah menghadapi kejadian banjir besar luar biasa hingga menakutkan seluruh rakyat di Kelantan.
Menurutnya, penduduk Orang Asli di beberapa kampung sekitar Pos Brooke dan Lojing sebelum ini, pernah menyuarakan kebimbangan mereka menghadapi masalah hakisan lebih teruk, kesan daripada pembukaan tanah tidak terkawal itu.

“Suara mereka menjadi kenyataan dalam kejadian banjir besar baru-baru ini dan kita tidak menduga sama sekali kejadian berlaku dengan begitu cepat.

“Apa pun, kita perlu bersabar menerima ujian tuhan, walaupun kita anggap ia kesan daripada kemusnahan hutan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata, pihak berkenaan harus melakukan pemantauan supaya aktiviti pembukaan tanah dan pembalakan terkawal serta mengikut cara terbaik.

“Saya rasa sedih juga kerana ketika banjir besar itu, saya tidak boleh pulang ke Gua Musang kerana semua jalan darat terputus hubungan tetapi bekalan makanan saya aturkan dengan segera kepada mangsa banjir," katanya.

0 Response to "Banjir Di Kelantan Akibat Pembalakan?"

Post a Comment