CATATAN NEELOFA: Cara Jaga Kesihatan Gigi

CATATAN NEELOFA: Cara Jaga Kesihatan Gigi|

Assalamualaikum semua, seronoknya dapat bersantai bersama yang tersayang di rumah hujung minggu ini kan! Untuk Nota Neelofa minggu ini, Lofa nak berbicara mengenai kepentingan menjaga gigi dalam kehidupan seharian kita.

Macam nak jadi doktor gigi pula kan tiba-tiba menulis mengenai bidang kebersihan dan kesihatan gigi. Bukan begitu, Lofa sekadar berkongsi pandangan dan pendapat.

Bagi Lofa, masyarakat kita banyak terlepas pandang isu ini dan menganggap penjagaan gigi ini satu perkara yang remeh. Sampaikan ada yang beranggapan, mengosok gigi sehari sekali sudah memadai.
Percaya tak kalau Lofa katakan yang memberus serta menjaga gigi dengan betul adalah satu daripada cara termudah untuk menjaga kesihatan sekaligus mempertingkatkan keyakinan diri.

Bagi Lofa, perkara ini amat tepat sekali. Memiliki gigi sempurna merupakan satu “aksesori” yang penting dalam kehidupan Lofa lebih-lebih lagi kerjaya seperti Lofa menuntut untuk lebih peka dengan hal ini.
Saban hari, Lofa berurusan dengan ramai pihak dari pelbagai latar belakang. Memiliki gigi yang cantik, pastinya memberikan satu gambaran awal yang positif mengenai diri kita.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Lofa merupakan seorang yang ‘gila’ mengenai penjagaan gigi. Selalunya Lofa akan membuat pemeriksaan gigi setiap dua bulan sekali.

Padahal paling afdal untuk mendapatkan pemeriksaan gigi cukup sekali untuk tempoh enam bulan, sampaikan doktor pun pelik dengan perangai Lofa.

Walaupun obses dengan penjagaan gigi, Lofa masih lagi seorang yang tradisional. Jika orang lain lebih gemar menggunakan kaedah rawatan gigi yang lebih moden seperti laser dan sebagainya, bagi Lofa cukuplah sekadar memberus, menggunakan benang flos dan berkumur.

Jika bertemu doktor gigi sekalipun, Lofa lebih selesa memilih untuk mencuci gigi (scaling). Lofa ada terbaca, melakukan rawatan gigi yang lebih moden seperti laser untuk memutihkan dan menjaga gigi, ada implikasi buruk untuk jangka panjang. Ianya akan menyebabkan gigi kita mudah terhakis dan mudah mereput.

Masyarakat hari ini selalu beranggapan dengan memberus gigi sudah memadai untuk mengelakkan mereka daripada mengalami sakit gigi tetapi sebenarnya salah.

Proses menggunakan benang flos dan berkumur sangat penting kerana kajian mendapati, plak yang wujud di sekeliling gigi kita merupakan punca penting kepada masalah sakit gigi, pereputan dan punca mulut berbau.
Mulut atau pun nafas berbau merupakan satu perkara yang sangat Lofa tidak gemari. Apa perasan anda bila rakan memalingkan muka atau menutup dengan tangan kerana tidak selesa dengan bau mulut anda? Pasti anda sedih dan bertambah tidak yakin dengan diri sendirikan?



Sebenarnya ada pelbagai tip mudah untuk anda semua praktikkan. Ini merupakan dua amalan penjagaan gigi dan mulut supaya tidak berbau.

Pertama, minum air putih dengan kerap. Kurangkan minuman bergula dan sebagainya. Kopi dan teh perlu dikurangkan. Lofa ada terbaca yang kopi dan teh merupakan antara punca utama gigi mudah menjadi kuning, berkarat dan nafas berbau.

Kedua, sentiasa kunyah gula-gula getah yang bersesuaian. Mudah bukan? Dah macam pakar pergigian pula cerita Lofa minggu ini. Ini sekadar perkongsian dan pandangan Lofa saja ya.
Sebut pasal isu gigi dan mulut, pastinya tak lengkap Nota Neelofa kalau tidak cerita mengenai kisah Lofa pada waktu kecil. Bila difikir balik, lawak pun ada. Waktu kecil, apabila gigi tercabut, Lofa akan cepat-cepat tanam gigi Lofa.
Sebabnya, waktu kecil Lofa percaya nanti gigi yang ditanam akan tumbuh sebagai pokok dan lofa boleh pilih gigi yang mana untuk mengantikan gigi yang tercabut itu.

Ini semua salah sepupu Lofa yang pandai pandai bagi ajaran tidak betul kepada Lofa. Apabila meningkat dewasa, barulah Lofa tahu semua itu hanyalah imaginasi kanak-kanak semata.

Lofa nak tanya, bagi pembaca semua siapakah selebriti Malaysia yang anda rasakan memiliki gigi yang cantik? Jika ditanya pada Lofa, pastinya Jaclyn Victor menjadi pilihan Lofa dan Datuk Siti Nurhaliza. Hanya sekadar menyebut beberapa nama.

Gigi yang cantik dan tersusun rapi, pastinya mampu mengukir senyuman manis. Orang pun akan lebih selesa berinteraksi dengan kita.

0 Response to "CATATAN NEELOFA: Cara Jaga Kesihatan Gigi"

Post a Comment