''Selidik Daripada Akar Umbi''

Selidik Daripada Akar Umbi|


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata isu kenaikan harga barang yang berlaku sekarang bukan soal sesuatu kaum tertentu.

“Ini bukan soal (bangsa) Cina, Melayu...ini soal harga minyak jatuh kenapa harga barang tak turun? Ia melibatkan semua peniaga tetapi memanglah peniaga dalam Malaysia ini kebanyakannya Cina,” katanya selepas merasmikan pemasangan plak warisan kebangsaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, menyalahkan sesuatu kaum berhubung kenaikan harga barang adalah satu cara negatif dalam menyelesaikan masalah itu.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata, usaha mencari punca kenaikan harga perlu dilakukan secara menyeluruh ke arah meringankan beban rakyat.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung isu boikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang yang menjadi viral di laman sosial.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tampil membuat penjelasan bahawa kenyataannya itu bukan ditujukan kepada peniaga Cina tetapi kepada semua pemborong dan peniaga yang masih tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak diturunkan.

Dr Mahathir seterusnya berkata Malaysia tidak mendapat manfaat penuh sekalipun harga bahan api mengalami penurunan susulan kejatuhan nilai ringgit sekali gus menyebabkan nilai import negara meningkat.

“Walaupun kita boleh kutuk mereka ini (peniaga), kita perlu pastikan import dikawal dan harga barangan dan pengangkutan dikawal, kita tidak suka untuk mengawal pasaran perniagaan tetapi kadangkala...kita perlu kawalnya kerana pasaran tidak dapat membuat kawalan sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mencadangkan satu siasatan dan kajian teliti dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu yang cuba mensabotaj ekonomi negara.

Sambil menjelaskan bahawa nilai mata wang susut disebabkan penjualan mata wang itu dengan mendadak dan kerap, beliau berkata, siasatan perlu dibuat untuk memastikan sama ada inikah yang berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengarahkan agensi kerajaan berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap dakwaan mengenai kegiatan individu tertentu mensabotaj ekonomi negara.

0 Response to "''Selidik Daripada Akar Umbi''"

Post a Comment