Gesa Kerajaan Ringankan Beban Pesara Swasta

Gesa Kerajaan Ringankan Beban Pesara Swasta|


SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi perhatian khusus kepada pesara sektor swasta kerana majoriti daripada mereka menghadapi kesempitan hidup selepas menamatkan perkhidmatan sebagai pekerja.

Bendahari Kelab Warga Emas Bandar Raya Shah Alam, Ahmad Zamri Kamaruddin berkata, kos perubatan merupakan masalah yang dihadapi oleh pesara swasta berbanding pesara kakitangan awam.
“Disebabkan oleh faktor umur, pelbagai penyakit yang dihadapi oleh pesara-pesara ini dan memerlukan kewangan mencukupi untuk menampung kos perubatan. Berbanding dengan pesara awam mereka mempunyai kelebihan di hospital-hospital kerajaan.
“Sebagai contoh, bagi pesakit yang menghadapi penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, setiap minggu mereka perlu menjalani rawatan dan ia memerlukan jumlah kewangan yang besar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau mengesyorkan kepada kerajaan supaya pesara atau warga emas diberikan potongan harga bagi tujuan perubatan.
“Selepas bersara, pekerja swasta tidak mempunyai sebarang bentuk sumber pendapatan melainkan wang simpanan sewaktu bekerja.

“Setiap bulan rumah perlu dibayar, bil elektrik, bil air dan cukai pintu. Bukit kalau ditarah akan rata, begitu juga dengan wang simpanan,” katanya.
Jelasnya, selain bantuan daripada anak-anak, kebanyakan pesara swasta masih bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Bagi yang masih mampu bekerja tidak mengapa tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak larat disebabkan oleh faktor usia dan kesihatan.
“Sepatutnya kerajaan lebih peka terhadap pesara dan golongan emas ini kerana mereka juga pernah bekerja bagi membantu membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu mengkaji semula kelebihan kad warga emas bagi tujuan potongan harga pelbagai perkhidmatan.
“Saya tidak nafikan, kerajaan ada membantu pesara dan warga emas sebagai contoh potongan harga bagi tambang perkhidmatan awam, namun begitu berapa ramai warga emas yang menggunakan perkhidmatan ini?
“Mungkin melalui kad berkenaan kerajaan boleh memberikan potongan harga kepada perkara-perkara lain sebagai contoh diskaun tol, parkir, pembayaran bil elektrik, bil air dan makanan,” katanya.

0 Response to "Gesa Kerajaan Ringankan Beban Pesara Swasta"

Post a Comment