Kerajaan Tambah Masa PATI Serah Diri?

Kerajaan Tambah Masa PATI Serah Diri?|


Nilai: Kerajaan akan melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Serah Diri Sukarela yang ditawarkan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk dihantar pulang ke negara asal sehingga Disember tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, program dikenali 3+1 itu memberi peluang kepada majikan menyerahkan PATI atau PATI menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Katanya, PATI yang tamat tempoh permit kerja namun pasport masih sah dan ingin pulang ke negara asal boleh menyerah diri secara sukarela kepada imigresen menerusi syarikat khas ditubuhkan dengan kompaun RM300 dan RM100 untuk pas khas.

Menurutnya, PATI dari negara lain selain Indonesia dan Myanmar boleh membuat pendaftaran di kaunter imigresen seluruh negara atau di Koperasi Pegawai-Pegawai Imigresen Semenanjung Malaysia.

Katanya, tawaran itu hanya membabitkan negeri di Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak masih dalam kajian.

"PATI warganegara Indonesia yang ingin pulang ke negara asal boleh mendaftar dengan syarikat IMAN manakala PATI warganegara Myanmar boleh berbuat demikian bersama syarikat Bukti Megah.

"Saya menyeru majikan yang menggajikan PATI supaya menggunakan saluran ini untuk pulang ke negara asal kerana melalui program ini mereka tidak akan ditangkap," katanya selepas mengetuai Op Ikrar di Nilai 3 di sini, semalam.

Mustafa berkata, sepanjang enam bulan pelaksanaan program 3+1 sejak Julai tahun lalu, seramai 112,000 PATI menyerah diri dan mereka sudah dihantar pulang ke negara masing masing.

0 Response to "Kerajaan Tambah Masa PATI Serah Diri?"

Post a Comment