4 Tokoh Oku yang lebih Berjaya Daripada Manusia Biasa Yang Normal


Belia istimewa ini enggan mengalah dengan kekurangan fizikal dirinya dan ia memberi inspirasi kepada remaja OKU lain.

Admin kagum dengan semangat dan kejayaan remaja yang fizikalnya tidak sempurna, namun hebat dalam dunia sukan.

Dunia sukan sering dikaitkan dengan disiplin, semangat juang tinggi, malah kesempurnaan fizikal untuk menjadi yang terbaik.

Atlet juga sering dilihat sebagai seorang yang memiliki karisma dan kesempurnaan fizikal lantas menjadi idola ramai terutamanya remaja.

Namun, bukan semua boleh mengaitkan diri mereka dengan ‘kesempurnaan’ pada atlet ini terutamanya belia orang kurang upaya (OKU) yang melihat diri mereka berbeza dengan atlet berkenaan.

Situasi ini berubah apabila munculnya Sukan Paralimpik pada 1960 yang diadakan khas untuk individu OKU yang berkebolehan tinggi dalam bidang sukan. Acara yang diadakan setiap empat tahun ini menyerlahkan ramai atlet OKU.

Pada awal penganjuran Sukan Paralimpik, kebanyakan atlet yang bertanding adalah veteran perang dan atlet yang mengalami kecacatan akibat kemalangan, penyakit atau sebagainya. Namun kini ramai atlet paralimpik pada usia muda mengambil bahagian, sekali gus memberi inspirasi kepada ramai individu terutamanya remaja yang senasib dengan mereka.

Kebanyakan atlet muda ini mempunyai kehidupan sukar pada awalnya, namun bangkit membela diri sendiri melalui kebolehan mereka dalam dunia sukan. Kejayaan mereka jelas membuktikan bahawa cabaran fizikal dimiliki bukanlah halangan meneroka kebolehan diri, seterusnya berjaya dalam bidang masing-masing.

Tatyana McFadden



Tatyana McFadden adalah atlet larian T54 iaitu perlumbaan atas trek menggunakan tangan dan kerusi roda yang memenangi pingat emas Sukan Paralimpik pada usia 23 tahun. Kini berusia 26 tahun, kehidupan Tatyana pada zaman kanak-kanak dan remaja tidaklah mudah.

Dia dilahirkan di Russia dengan keadaan lumpuh dari pinggang ke bawah. Lebih menyayat hati, ibu kandungnya meletakkan dia di rumah anak yatim. Oleh kerana rumah anak yatim itu serba kekurangan, Tatyana tiada kerusi roda dan dia terpaksa bergerak dengan cara merangkak menggunakan kedua-dua belah tangannya. Malah doktor menjangkakan bahawa Tatyana tidak akan hidup lama dengan keadaan kesihatannya itu.

Keadaan ini berterusan sehingga Tatyana berumur enam tahun. Dia kemudian diambil sebagai anak angkat oleh pelawat rasmi dari Amerika Syarikat, Deborah McFadden. McFadden yang juga seorang ibu tunggal menjaga Tatyana dengan penuh kasih sayang.

Menyedari Tatyana meminati bidang sukan, McFadden menggalakkan gadis itu membabitkan diri dalam aktiviti sukan renang, gimnastik dan bola jaring yang juga boleh menguatkan otot Tatyana.
Tatyana kemudian memasuki sukan Paralimpik pada usia remajanya dan memenangi pingat perak. Sejak itu dia terus maju dalam sukan berkenaan dan setakat ini memenangi lebih lima pingat emas selain beberapa pingat lain.

Gadis ini melanjutkan pelajaran di Universiti Illinois dalam bidang Pembangunan Kemanusiaan dan Keluarga dan mengetuai kelab sukan untuk OKU di kampusnya.

Jessica Long



Perenang paralimpik berambut perang ini dilahirkan dengan tulang kaki yang rosak dan kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong daripada paras tengah paha supaya tidak mengganggu tumbesarannya. Senasib dengan Tatyana, Jessica diserahkan kepada sebuah rumah anak yatim di Siberia dan ketika berusia 13 bulan, dia diambil sebagai anak angkat oleh sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat.
Ibu bapa angkatnya menggalakkan Jessica membabitkan diri dalam bidang sukan dan dia menemui kebolehannya dalam acara renang.

Pada 2004 dia memasuki Sukan Paralimpik di Athens dan memenangi pingat emas pertamanya dan kini mengumpul lebih 10 pingat emas sukan Paralimpik musim panas dan musim sejuk.

Andrew Lapthorne



Pemain tenis paralimpik berusia 24 tahun ini dilahirkan dalam keadaan cerebral palsy iaitu penyakit formasi kaki yang tidak sempurna dan semakin teruk. Andrew hanya boleh berjalan tidak melebihi beberapa meter dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Namun, sejak usia kanak-kanak lagi dia tidak mahu keadaan fizikalnya menghalang dia menjalani kehidupan seperti insan biasa dan dia nekad mengambil kelas latihan sukan tenis untuk individu berkerusi roda.

Ketika latihan, dia berusaha mempelajari teknik dan kesungguhan, malah bakatnya dilihat oleh seorang jurulatih sebelum dimasukkan ke dalam kelas latihan untuk seorang atlet paralimpik.
Pada sukan paralimpik musim panas 2012, dia akhirnya memenangi pingat perak untuk sukan tenis berkerusi roda pada usia 21 tahun.

Daniel Dias



Danial, 27, pada mulanya sedih dengan kehidupannya kerana dilahirkan kudung kaki dan tangan. Namun, apabila melihat atlet renang dalam Sukan Paralimpik 2004, dia mendapat inspirasi dan nekad mengubah pemikiran serta nilai hidupnya.

Pada usia 16 tahun dia memasuki kelas renang dan berlatih berenang hampir setiap hari. Pada usia 20 tahun, dia melayakkan diri memasuki Sukan Paralimpik di Beijing untuk mewakili negaranya iaitu Brazil.
Danial memenangi empat pingat emas pada acara itu dan antara perenang lelaki termuda dalam acara sukan berkenaan.

Walaupun hebat dalam bidang sukan, Danial masih tidak mahu ketinggalan dalam dunia akademik dan memperoleh ijazah dalam Kejuruteraan dan Pendidikan.

0 Response to "4 Tokoh Oku yang lebih Berjaya Daripada Manusia Biasa Yang Normal"

Post a Comment