Patah hati bukan sekadar metafora bagi menggambarkan kesedihan dan keperitan emosi yang dialami seseorang disebabkan kehilangan orang yang tersayang, sebaliknya ungkapan itu adalah sindrom masalah jantung sementara menyerupai serangan jantung yang boleh mengancam nyawa.
Sindrom patah hati adalah gangguan sementara dialami otot jantung disebabkan tindak balas organ penting berkenaan terhadap sejumlah hormon adrenalin yang dirembeskan ketika seseorang mengalami tekanan emosi atau fizikal yang teruk.
Akibatnya, otot jantung tidak dapat menjalankan fungsinya iaitu mengepam secara normal dan keadaan ini dikenali sebagai kardiomiopati. Kegagalan otot jantung mengepam dengan baik membawa kepada penyempitan arteri yang membekalkan darah kepada jantung.
Apabila arteri menjadi sempit, darah tidak dapat dialirkan ke jantung dengan sempurna, menyebabkan ventrikel kiri jantung menggelembung seperti belon dan penghidapnya akan mengalami gejala menyerupai serangan jantung seperti sakit dada dan sesak nafas.
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Lim Bee Chian berkata, sindrom patah hati bukan saja disebabkan seseorang mengalami trauma teruk seperti kehilangan orang tersayang, kerugian harta benda atau dibuang kerja.
Malah, sindrom ini turut dicetuskan apabila seseorang terlalu gembira misalnya apabila dikejutkan dengan majlis hari jadi atau memenangi hadiah. Seseorang yang menjadi gugup dan mengalami tekanan kerana diminta berucap di khalayak ramai juga boleh menghadapi sindrom sama.
Selain itu, ubatan yang diambil untuk merawat penyakit seperti serangan asma, alahan yang teruk, masalah saraf akibat diabetes, kemurungan dan kelenjar tiroid bermasalah juga mendatangkan kesan sampingan yang melemahkan otot jantung.
“Sindrom ini walaupun menyerupai serangan jantung, ia sebenarnya bukan penyakit jantung. Serangan jantung biasanya disebabkan arteri jantung tersumbat akibat darah beku yang terbentuk akibat pemendapan lemak dalam pembuluh darah (arterosklerosis).
“Namun dalam situasi patah hati, arteri jantung tidak tersumbat tetapi ia mengecil, menyebabkan aliran darah berkurangan, seterusnya otot jantung mengalami gangguan.
“Dalam kes tertentu, patah hati boleh mengancam nyawa kerana sindrom ini turut mencetuskan gangguan ritma jantung dan kegagalan jantung berfungsi,” katanya.
Dr Lim berkata, sindrom patah hati kali pertama dikesan pada 1990 di Jepun dan dikenali sebagai kardiomiopati Takotsubo. Dalam bahasa Jepun, takotsubo adalah pasu perangkap sotong dan sindrom ini dinamakan sempena pasu berkenaan kerana ventrikel kiri jantung yang menggelembung menyerupai pasu itu yang berbentuk bujur.
“Sindrom patah hati boleh berlaku pada sesiapa saja yang mengalami tekanan perasaan hebat tanpa mengira umur dan jantina. Namun, sindrom ini biasa dialami wanita berusia 50 tahun ke atas disebabkan pada usia ini paras hormon estrogen yang melindungi jantung daripada kesan sampingan hormon tekanan mula berkurangan.
“Mereka yang mengalami sindrom patah hati akan sembuh dengan cepat selepas tekanan emosi dan fizikal yang dialami mula berkurangan dan biasanya masa yang diambil untuk pulih semangat antara seminggu hingga lapan minggu. Bagaimanapun, dalam kes yang jarang berlaku, sindrom patah hati boleh menyebabkan maut.
“Komplikasi lain disebabkan sindrom patah hati seperti edema pulmonari iaitu cecair berkumpul dalam paru-paru akibat ventrikel kiri jantung gagal berfungsi. Darah yang tidak dialirkan dengan baik menyebabkan cecair terkeluar dari salur darah dan masuk ke tisu badan.
“Tekanan darah rendah (hipotensi) juga berlaku, selain gangguan pada degupan jantung. Walaupun sindrom patah hati adalah masalah jantung sementara, ia boleh berulang jika mengalami tekanan emosi lagi,” katanya.
Dr Lim berkata, ujian dan diagnosis terhadap pesakit dengan sindrom patah hati sama dengan yang dijalankan terhadap penghidap sakit jantung, terutama pemeriksaan dada mengguna sinar X atau ekokardiogram (echo) bagi melihat sama ada jantung kiri mengembang atau kelainan pada paru-paru.
“Pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) juga dijalankan bagi mengesan kelainan pada degupan jantung yang menjadi komplikasi kepada sindrom patah hati.
“Doktor juga akan menyoal selidik sejarah pesakit sama ada mengalami peristiwa menyedihkan kerana dianggarkan satu hingga dua peratus pesakit yang menjalani pemeriksaan berkenaan selepas disyaki sakit jantung sebenarnya mengalami sindrom patah hati,” katanya.
Penghidap sindrom patah hati biasanya juga diberi rawatan bagi mengurangkan keperitan akibat gejala atau komplikasi yang timbul berikutan masalah jantung ini berlaku sementara disebabkan tekanan emosi yang boleh dipulihkan dengan bersikap positif.
-
0 Response to "Jangan Mudah Patah Hati, anda mudah mati?"
Post a Comment