Keningau: Lima pegawai serta anggota dari 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Kukusan Tawau nyaris maut selepas pacuan empat roda milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Batu 58, Jalan Keningau-Sepulut, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, pemandu kenderaan Mohd Najib Ghazali, 29, dan penumpang lain, Kapten Mohd Shahrul Hamidon, 31, Sarjan Mohd Syamsul Rizal Jaafar, 35, Kapten Akmal dan Leftenan Muda Muizzudin dipercayai dalam perjalanan ke Kota Kinabalu melalui Jalan Kalabakan-Sepulut.
Ketua Polis Keningau Deputi Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, kejadian berlaku apabila pacuan empat roda Isuzu D-Max dinaiki terbabas ketika menuruni bukit dari arah Tawau menuju ke Kota Kinabalu ketika melalui jalan Kalabakan-Sepulut.
“Kenderaan itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar tebing bukit sebelah kanan jalan sebelum terbalik ke atas jalan raya.
“Kapten Mohd Shahrul yang juga penumpang hadapan cedera ringan di jari kiri dan Sarjan Mohd Syamsul (penumpang belakang) cedera ringan di kaki kiri.
“Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Keningau sebagai pesakit luar, manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, laporan kejadian kemalangan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau oleh salah seorang anggota yang terbabit iaitu Mohd Najib jam 6.34 petang.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kawasan jalan raya berselekoh sedikit menurun bukit, ditambah lagi dengan cuaca hujan dan jalan licin dipercayai punca utama kemalangan berlaku,” katanya.
0 Response to "5 orang Anggota Tentera Kemalangan"
Post a Comment