Rakyat Singapore Masuk Malaysia Isi Petrol dalam Tong?



Johor Bahru: Siap isi petrol dalam tong. Itu yang dilakukan pemandu warga Singapura di sebuah stesen minyak, di sini.

Menerusi kiriman gambar pembaca blog Silang Jari, malam ini, pemandu itu menyembunyikan tong di tempat duduk belakang kenderaannya yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura.

Menurut pengirim gambar itu, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Tiada pemantauan yang betul daripada pihak stesen minyak. Warga asing itu mengisi petrol dalam tong di dalam kenderaannya,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor memandang serius perbuatan itu.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Johor V Ravichandran berkata, walaupun pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai tindakan warga asing itu, pemantauan akan dibuat segera bagi mengenal pasti individu atau mana-mana stesen minyak yang membenarkan penjualan dan pembelian petrol ke dalam tong secara salah itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu boleh tampil membantu KPDNKK dalam menjalankan pemantauan dan siasatan.

"Stesen minyak yang membenarkan penjualan boleh diambil tindakan kerana melanggar arahan , manakala mana-mana pemandu warga asing mahu pun tempatan yang melakukan perkara sebegitu boleh dikenakan tindakan kerana membeli minyak tanpa permit khas yang dibenarkan KPDNKK," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sering menerima aduan dan mengambil tindakan terhadap pemandu Singapura yang mengisi petrol RON95, namun akan terus membuat pemantauan rapi berhubung sebarang aduan membabitkan penjualan dan pembelian petrol secara salah.

0 Response to "Rakyat Singapore Masuk Malaysia Isi Petrol dalam Tong?"

Post a Comment